Rabu, 14 Oktober 2009

Adakah murid kita Disleksia ?

Minggu depan semua gpkhas daerah ini akan menghadiri bengkel P&P Murid Disleksia. Sebagai guru baru, ini adalah antara yang ingin saya ketahui dengan mendalam. Tambahan pula ada di antara anak murid yang mempunyai 'keistimewaan' yang unik berbanding kawan-kawan seusia mereka. Misalnya, dia lancar dari segi membaca. Tetapi sangat bermasalah apabila diminta menulis. Dia akan mengambil masa terlalu lama untuk menulis sesuatu huruf atau perkataan; menyalin huruf secara terbalik dan paling saya musykilkan dia sukar mengira. Apabila diminta mengira jarinya, dia akan kata jarinya 4 lepas tu 5 lepas tu 6 dan apabila di minta memberi satu jawapan yang dia rasa dia pasti, dia akan jawab "7 cikgu". Adakah itu dikatakan disleksia. Saya kurang pasti dan berharap bengkel ini memberikan saya satu kepastian dan paling penting apakah langkah terbaik untuk membantu mereka ini. 


Bagaimanapun melalui pembacaan sedikit sebanyak saya dapat memahami apakah disleksia ini. 


Apakah Disleksia




Disleksia adalah masalah kurang kemampuan dari segi pembelajaran menyebabkan mereka bermasalah untuk membaca, mengeja dan memahami. Ia bukan masalah intelektual kerana dari segi IQ mereka bijak tetapi ketidakupayaan membezakan huruf, nombor, menterjemahkan bunyi dan visual dalam penulisan menyebabkan mereka gagal untuk belajar. 




Disleksia sebenarnya berpunca daripada perbezaan otak memproses bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan. Dipercayai sistem neurologi yang tidak berfungsi dengan betul menyebabkan gangguan pada struktur otak.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata disleksia adalah disebabkan perbezaan otak memproses tulisan dan pertuturan.



Beliau berkata, tiada statistik mengenai disleksia di Malaysia namun dianggarkan antara empat hingga lapan peratus kanak-kanak pada usia persekolahan berhadapan dengan disleksia manakala kanak-kanak lelaki lebih cenderung berhadapan dengan masalah itu berbanding kanak-kanak perempuan. 




"Kanak-kanak disleksia bukan kanak-kanak lembam atau bodoh, mereka cuma kurang kemampuan dari segi pembelajaran. Namun, itu tidak bermakna mereka akan gagal dalam hidup. Mereka masih boleh belajar dan diajar dengan formula tertentu," katanya.




Dari sudut perubatan, disleksia dikaitkan dengan faktor genetik, namun tahap masalah pembelajaran bagi setiap kanak-kanak itu tidak sama. Ada penyelidik percaya komplikasi ketika hamil atau ketika melahirkan bayi menyebabkan sedikit kerosakan pada otak. 




Umumnya, kanak-kanak ini berhadapan dengan kesukaran belajar membaca dan mengeja. Otak mereka juga kurang berupaya menterjemah imej yang diterima daripada mata atau bunyi yang didengar telinga kepada bahasa yang difahami apabila dituturkan.

Biasanya kanak-kanak disleksia boleh mengeja dengan betul tetapi kedudukan perkataan itu tunggang terbalik atau tertinggal huruf vokal. Misalnya perkataan tiap-tiap ditulis sebagai tipa-tipa. Apabila guru menyebut 13, kanak-kanak disleksia akan menulis 31. Jika guru meminta mereka mengeja perkataan diam mereka menulis d i y a m, kalau disebut di - am, barulah ditulis diam.

Sariah berkata, disleksia kerap dikesan pada umur persekolahan. Selalunya ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri kecewa kerana gagal belajar membaca dan menulis dengan baik sehingga membawa kepada masalah kemurungan dan rendah diri.

Kegagalan itu menyebabkan mereka mula bermasalah bukan saja di sekolah tetapi di rumah. Apatah lagi jika ibu bapa atau guru tidak menyedari kanak-kanak terbabit sebenarnya berhadapan dengan disleksia.

Selain itu, ada kanak-kanak disleksia yang terjejas dari segi visual, misalnya gagal menulis huruf, nombor dan simbol dalam susunan yang betul. Dari segi pendengaran, mungkin ada yang sukar membezakan huruf atau kumpulan huruf manakala ada juga yang tidak boleh memegang atau mengawal pensil di genggaman menyebabkan mereka sukar menulis dengan betul.

Disleksia boleh terjadi pada peringkat yang sangat lemah (mild), sederhana atau teruk. Namun, perlu diketahui tiada ubat untuk menyembuhkan disleksia melainkan kesabaran dalam mengajar mereka, memberi mereka sokongan dan bantuan sedaya upaya.


Ciri-ciri kanak-kanak disleksia: 




Kanak-kanak pra sekolah

  • Lambat bercakap
  • Sukar membunyikan perkataan atau rima
  • Bermasalah dalam menulis nama sendiri
  • Sukar mempelajari perbezaan bentuk atau warna
  • Kurang upaya bercerita semula mengenai sesuatu kejadian






Kanak-kanak yang bersekolah

  • Gagal membuat kerja sekolah, membaca, menulis dan mengira
  • Tidak suka membaca buku atau mengelak untuk membaca dengan kuat dalam kelas
  • Cenderung menulis terbalik, misalnya 15 menjadi 51, perkataan tiap-tiap menjadi tipa-tipa
  • Kurang koordinasi misalnya sukar memakai tali kasut
  • Keliru dengan konsep masa, semalam, hari ini, esok
  • Sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan
  • Cenderung hilang peralatan sekolah.






Jenis disleksia:

  • Disleksia trauma - jarang ditemui dan selalunya terjadi kerana trauma pada bahagian otak yang mengawal keupayaan membaca dan menulis.
  • Disleksia permulaan - pesakit disleksia jenis ini sukar membaca, mengeja atau menulis. Diwarisi secara genetik dan lebih kerap ditemui pada kanak-kanak lelaki.
  • Disleksia sekunder - dipercayai berpunca pembentukan hormon ketika dalam kandungan.
Sumber : Berita Harian

0 comments:

Catat Ulasan

 
Copyright 2009 Everlasting Love.... Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemesfree